Monday, March 23, 2009

Kecantikan Abadi

Siapa tak nak kalau sudah tua masih dikatakan bergetah. Siapa tak mahu kalau sudah lanjut usia badan masih kuat, tak rabun dan otak masih boleh ingat. Tetapi adakah caranya untuk mengelak hal-hal ini daripada berlaku?

Manusia tidak pernah berhenti dari membina teladan dan mencari pengalaman. Sejak kewujudan manusia, tidak pernah manusia berhenti mencari sumber alam untuk dijelmakan menjadi petua dan panduan demi menjadikan hidup lebih baik dan berkualiti.

Kata orang, untuk menguatkan badan makanlah daging selalu, tapi usah terlalu kerap. Seminggu sekali cukup untuk daging merah. Kemudian pakailah haruman selalu. Psikologinya apabila berbau harum kita akan terasa lebih selesa untuk hidup. Keharuman menyebabkan kita menghiru nafas dalam-dalam dan ini membetulkan sistem-sistem saraf dalam badan. Maka, tak mustahillah badan menjadi kuat.

Satu lagi, kerap-keraplah mandi. Bayangkan anda tidak mandi seminggu lamanya. Anda bukan tinggal di Eropah tetapi di sini? Negara Khatulistiwa memang panas dan merengsakan. Kalau tak mandi memang rengas dan psikologinya akan menyebabkan badan lemah dan malas. Cuba lihat, sebaik saja anda mandi awal pagi ataupun sewaktu petang ataupun pada bila-bila masa saja anda rasakan ingin mandi apa yang berlaku selepas itu? Tentunya segar dan terasa kuat seluruh badan, bukan?

Langkah keempat, pakailah pakaian dari kapas. Memang berbeza. Jika anda pakai pakaian dari nylon atau bercampur aduk antara nylon dengan kapas, dengan kapas seratus peratus, anda akan dapati tubuh lebih selesa dan ini tentunya memberi kekuatan.

Hendak tahu apa pula perkara-perkara yang boleh melemahkan badan? Antaranya banyak berkelamin, selalu berasa cemas, banyak minum air ketika makan dan banyak makan bahan-bahan makanan yang masam. Dalam meniti usia menuju penyudah eloklah kurang-kurangkan aktiviti seksual tetapi tingkatkanlah ibadah yang memaksa pergerakan badan terutama solat.

Satu lagi yang mudah dialami ialah rabun. Meskipun rabun tidak semestinya hanya berlaku setelah tua, peratus orang tua yang menjadi rabun tentu lebih ramai dari peringkat-peringkat usia yang lain. Seorang ustaz memberitahu saya, pandanglah kehijauan selalu untuk menajamkan mata sekali gus mengelakkan rabun. Sayangnya saya diberitahu tentang ini setelah menjadi rabun.

Jika anda sayangkan penglihatan selalulah duduk menghadap kiblat dan memandang kehijauan, mungkin sawah padi, lembah hijau dari puncak bukit, mahupun sekadar lukisan berwarna hijau di dinding rumah. Rajin-rajin juga pakai baju berwarna hijau atau galakkan orang sekeliling memakai pakaian hijau. Boleh juga cat rumah dengan warna hijau lembut dan tukar warna cat kereta kepada hijau.

Pada usia melepasi 40 adalah sempadan bagi dua keadaan; semakin dihormati ataupun didoakan pergi. Jika usia sebelumnya telah digunakan untuk pelbagai perkara baik hingga mencuri kasih sayang manusia, usia selepasnya adalah tempoh semakin dihormati; tetapi sekiranya usia sebelum itu penuh dengan pelbagai hal yang mencacatkan penghormatan manusia, yang selepasnya adalah caci maki.

Oleh itu berusahalah supaya penghujung usia adalah saat mempamerkan mutiara yang sebelumnya digilap dengan usaha. Tajamkan fikiran dan matangkan pendirian. Usah terlalu banyak berbual kosong tetapi tidak salah atas maksud kemasyarakatan dan kemesraan bersama penduduk setempat. Terlalu diam atau memencilkan diri akan menyebabkan terpencil dan dipencil. Dan usah lupa untuk mendekatkan diri dengan orang soleh serta bergaul dengan para ulama.

Seseorang itu dicermin oleh kawannya, kalau baik kawannya maka baik jugalah dia. Begitu jugalah sebaliknya.

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda, lebih kurang begini, kalau berkawan dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak akan mendapat bau wanginya. Kalau berkawan dengan tukang besi, jika tidak terbakar baju kita paling kurang kita akan terasa bahangnya.

Yang paling indah pada penghujung usia ialah kesihatan luar dan dalam. Sihat memberikan kecantikan dan ketampanan tetapi adalah lebih cantik dan tampan sekiranya dalamnya turut indah dan menawan.

0 comments:

Every woman in the world